
FUSILAT SKI

Pentingnya Memahami Sirah Nabi (SAW)
Tujuan mengkaji riwayat hidup Rasulullah dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja. Jadi tidak seharusnya kita menganggap kajian sejarah hidup Rasulullah saw ini sama dengan membaca dan menelaah sejarah para pemerintah (khalifah di zaman purbakala)
Tujuan pokok dari kajian yang dimaksudkan ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah saw itu sendiri. Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebih dahulu.
Tegasnya kajian riwayat hidup Rasulullah saw ini adalah suatu usaha mengumpul hikayat dan intisari dasar-dasar Islam kemudian memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam iaitu Nabi Muhammad saw.
Sekiranya perlu kita bahagikan tujuan-tujuan ini maka bolehlah dibahagikan seperti berikut :
1. Memahami peribadi Nabi Muhammad saw menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri. Ini adalah untuk menentukan Muhammad saw itu bukan sebagai manusia pintar tetapi dia adalah pesuruh Allah SWT yang menerima wahyu dan taufiq dariNya.
2. Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, dari itu juga dapat dijadikan sebagai dasar-dasar hidupnya. Andaikata manusia ingin mencari suatu contoh terbaik bersifat universal, maka akan dapat semuanya di dalam kehidupan Muhammad SAW. Jadi tidak hairanlah Allah menjadikan Muhammad SAW itu sebagai contoh kepada umat manusia. Untuk demikian maka Allah telahpun menegaskan dalam kitab suciNya.
‘Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu’. Al-ahzab 33:21
3. Semoga kupasan tentang kehidupan Muhammad SAW boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-quran lantaran banyaknya ayat-ayat Al-quran yang dhurai dan ditafsirkan oleh kejadian dan peristiwa-peristiwa sejarah hidup Nabi Muhammad SAW.
4. Agar setiap Muslim dapat mengumpulkan seberapa banyak yang boleh perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar samada pengetahuan bersangkutan dengan ‘aqidah kepercayaan, hukum hakam’ dalam Islam atau tatasusilanya. Lebih tegas lagi penghidupan Rasulullah SAW adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.
5. Membolehkan para pendidik penda’wah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut system pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Muhammad SAW sendiri adalah pendidik, penasihat, guru dan petunjuk yang utama, tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari dan menyiasat jalan-jalan dan system-sistem pengajaran yang terbaik semasa baginda berdakwah.
Dipetik dari : Kitab Fiqh Al-Sirah 1 (karangan Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti)